Followers

Thursday, January 28, 2016

Penangan Mee Kari Daud Mat Jasak!



Bila sebut mengenai Ipoh, buah limau barli adalah perkara yang paling sinonim meniti di bibir. Tetapi, mungkin ada di antara kita yang tidak tahu bandaraya Ipoh juga memiliki keunikan makanan yang tersendiri.

Pernah ke anda singgah di restoran Mee Kari Daud Mat Jasak? Lokasinya di Jalan Datuk Onn Jaafar, Taman Jubilee, Ipoh. Mungkin bagi yang baru pertama kali ingin ke restoran berkenaan akan menghadapi kesukaran mencarinya, tetapi dengan teknologi moden yang ada sekarang, semuanya menjadi mudah. Hanya cari ‘Mee Kari Daud Mat Jasak’ di aplikasi Waze, anda akan ketemu destinasi yang dihajati.

Restoran Daud – Mee Daud Mat Jasak terletak di hujung deretan kedai dan sedikit terlindung. Maka tidak mustahil bagi pengunjung yang pertama kali mencari restoran tersebut akan terlepas pandang. Namun jangan bimbang, kerana terdapat papan tanda besar untuk restoran mee kari ini.

Apa yang istimewa mengenai kedai ini? Restoran ini sering menjadi bualan kerana menyajikan mi kari yang dikatakan terbaik di Ipoh, malahan pengunjung yang datang dari sebelah utara sanggup meredah kesesakan lalu lintas untuk menikmati sajian mi kari di restoran tersebut.



Mi kari yang disediakan lengkap dengan tauhu, bebola ikan dan tauge yang mampu membuka selera pengunjung tambahan dengan kuahnya yang enak dan pekat. Mungkin secara kasarnya tiada apa yang istimewa mengenai mi kari ini, tetapi bila mee kari dimakan dengan sos istimewa yang disediakan, rasanya sedap tak terhingga.

Bagi yang tidak puas dengan hidangan semangkuk mi kari, anda juga boleh memilih pelbagai jenis yong taufu sup yang memang lazat dinikmati bersama sos istimewa tersebut.



Selain mi kari, mi kicap juga menjadi salah satu keunikan di restoran ini. Penggemar mi kicap tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menikmati hidangan itu di restoran ini.

Mi sup juga merupakan antara menu yang digemari pengunjung. Selain mi, isinya boleh digantikan dengan bihun ataupun kueyteow. Terdapat kueyteow kari, kueyteow sup dan juga kueyteow kicap selain mi dan bihun.



Jika anda ke Ipoh, pastikan restoran Mee Kari Daud Mat Jasak ini menjadi salah satu destinasi di dalam kunjungan kerana ia tidak akan menghampakan! Jemput makan…

Sumber : Jurnal Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Komen anda dihargai.